Sunday, 16 October 2011

Pengasas Melaka - Parameswara

Parameswara


Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai Dharmaraja adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bentan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bentan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara telah berjaya melarikan diri menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3]
Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.
Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.
Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".
Perutusan pertama dari China yang diketuai oleh Laksamana Yin Ching telah tiba di Melaka pada tahun 1403. Beliau telah memberi hadiah-hadiah kebesaran daripada Maharaja Yung Lo kepada Parameswara sebagai tanda persahabatan dengan negeri baru Melaka itu. Parameswara membalas hadiah-hadiah kebesaran kepada Maharaja Yung Lo pada 1405.
Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri baginda sebagai Raja Iskandar Syah. Baginda telah berkahwin dengan puteri Pasai, Indonesia. Pada tahun 1409 juga, Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka dalam rangka lawatan beliau untuk meneroka dunia. Pada 1411, Parameswara telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf Parameswara sebagai raja Melaka. Kelihatan pedagang-pedagang Arab bersembahyang di Pelabuhan Melaka
Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata :
Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia
Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

No comments:

Post a Comment