Monday, 10 October 2011

KAJIAN TEMPATAN TAHUN 5

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka
     Pengasas Kesultanan Melayu Melaka ialah Parameswara pada sekitar tahun 1400. Selepas kejatuhan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, kerajaan Majapahit telah menguasai kawasan Srivijaya termasuk Palembang. Penguasaan ini ditentang oleh Raja Palembang dan puteranya, Parameswara. Demi mengembalikan kedaulatan bangsa dan negara, Parameswara telah berusaha membebaskan Palembang daripada Majapahit, tetapi tidak berjaya.

    Parameswara terpaksa berundur hingga sampai ke Temasik yang diperintah oleh Temagi dibawah naungan Siam telah menerima kedatangaannya. Kedudukan geografi Temasik yang strategik telah menyebabkan Parameswara membunuh Temagi untuk menjadi Pemerintah Temasik. Tindak balas segera dari Siam dengan mengatur serangan balas telah menyebabkan Parameswara dan pengikutnya melarikan diri ke Muar sebelum sempat serangan dilakukan. Perjalanan seterusnya adalah melalui Sening Ujung dan Bertam menuju ke utara yang membawa mereka tiba ke sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya terdiri daripada orang Melayu, orang laut dan orang asli.
     Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Srivijaya beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah.
     Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.
   Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

      Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

      Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.
Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

      Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.



No comments:

Post a Comment